Sekalung Kasih

Terima kasih diucapkan kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak lansung dalam penciptaan blog ini. Terutama sekali kepada pensyarah kami iaitu Dr.Mawar Binti Shafei yang juga merangkap sebagai pendorong kepada penghasilan blog ini. Ucapan terima kasih juga kami ingin sampaikan kepada kepada rakan-rakan yang banyak memberikan sokongan dan tunjuk ajar dalam menyiapkan tugasan ini. Sekalung kasih ini ditujukan khas buat pembaca, peneliti dan kepada mereka yang mahu menjadikan blog ciptaan kami ini sebagai rujukan dan panduan dalam mengenali siapa sebenarnya Hamzah Hussain ini secara lebih mendalam.

Penghasilan blog ini diharap dapat dimanfaatkan sebagai bahan kajian dan penilaian yang sangat berkesan dalam meneliti aspek kematangan pengetahuan tentang karyawan negara dalam dekad-dekad tertentu.

Sebagai rujukan, blog ini adalah sebagai tanda ingatan dan perhargaan kami terhadap terhadap pejuang sastera yang tidak asing lagi dalam dunia kesusasteraan iaitu peneraju kepada ASAS'50 iaitu Hamzah Hussain. setiap perjalanan seni beliau khususnya dalam bidang penulisan cerpen dimuatkan ke dalam blog ini. Blog yang kami sediakan ini juga merupakan sebahagian daripada markah penilaian untuk subjek Cerpen Melayu (SKMM1043) semester ke-2 bagi sesi pengajian 2009/2010 di bawah Program Persuratan Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu (PPBKKM) Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Blog ini dinilai oleh Dr. Mawar Shafei iaitu selaku pensyarah bagi Kursus Cerpen Melayu (SKMM1043) yang juga merangkap Ketua Program di pusat pengajian kami. Latar blog ini meliputi latar belakang tokoh, perjalanan hidup, karya dan sumbangan serta anugerah dan pengiktirafan. Selain blog ini, terdapat blog-blog lain yang dikaji oleh kumpalan yang berada dalam program yang sama yang mengkaji tokoh seperti Ishak Haji Muhammad, A. Samad Said, Abdullah Tahir, Salmi Manja, Zaharah Nawawi, Awam il-Sarkam, Ali Majod, Usman Awang dan Mana Sikana.

Sebagai pelajar yang senantiasa menantikan sesuatu yang baru, pendapat yang bernas, kritikan yang membina, kami amat mengalu-alukan cadangan, kritikan, dan komen seperti itu daripada semua bagi memperbaiki lagi tugasan ini supaya lebih baik.

Pengakuan

Selain itu, blog ini juga diwujudkan untuk memenuhi tugasan Kursus Cerpen Melayu (SKMM 1043) bagi Program Persuratan Melayu dibawah pengendalian pensyarah kami iaitu Dr. Mawar Shafei. Beliau yang juga merangkap Ketua Program Persuratan Melayu dibawah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat dalam penghasilan blog ini. Blog ini dikendalikan oleh Farah Wahida, Mohd Hafiz dan juga Siti Norain.Sebarang pindahan hendaklah dibuat melalui keizinan terlebih dahulu. Emeil hamzahhussain@yahoo.com.

Biodata Hamzah Hussain



Hamzah Hussain atau nama sebenar beliau adalah Hamzah Abdul Majid Bin Hussain. Beliau yang dilahirkan tanggal 27 Januari 1927 yang bertempat di Kandahar Street, Singapura. Hamzah menerima pendidikan awal di Sekolah Inggeris Victoria sehinnga lulus darjah lapan.Ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Hamzah sedang mendalami ilmu di Sekolah Agama Darul Ma'arif al-Islamiah iaitu di Singapura.

Anak kelahiran Singapura ini sebenarnya terkenal dengan konsep "Seni untuk Seni" pada awal tahun 50-an dulu. Konsep ini yang dipertahankan melalui jawatan yang disandang sebagai pengasas dalam Angkatan Sastera '50 yang lebih dikenali sebagai ASAS'50 begitu kuat pengaruhnya. ASAS'50 yang ditubuhkan pada 6 Ogos 1950 di Singapore turut melibatkan tokoh-tokoh sastera yang lain seperti Keris Mas, Jymy Asmara, Rosmera, Usman Awang dan ramai lagi. Penceburan beliau dalam ASAS'50 ini sedikit sebanyak telah menaikkan nama beliau ke peringkat yang lebih tinggi. Pada peringkat awal, Hamzah merupakan orang kuat persatuan tersebut tetapi kemudiannya telah mungundurkan diri bersama-sama Rosmera dan seterusnya menubuhkan Angkatan Persuratan Melayu Baru (PAPMB)

Nama Hamzah mula menanjak ketika beliau menggagaskan saranan "Seni Untuk Seni" yang bertentangan dengan sebahagian anggota Angkatan Sastera '50, terutama dengan Asraf yang menyarankan "Seni Untuk Masyarakat". Dalam penubuhan awal ASAS '50, Hamzah menjadi Ketua 1 tetapi kerana wujudnya perdebatan dan polemik mengenai dua slogan itu, Hamzah akhirnya keluar dari ASAS'50 dan menubuhkan Angkatan Persuratan Melayu Baru pada 17 April 1954. Walaupun Hamzah tidak terkenal dengan persatuan penulis yang ditubuhkan, tetapi beliau muncul sebagai penulis yang prolifik. Hamzah yang memulakan penulisannya dalam bentuk cerpen detektif dalam majalah Dunia Filem Melayu zaman pemerintahan BMA, telah meneruskan bakatnya dalam pelbagai majalah dan akhbar termasuk Utusan Zaman dan Mestika. Pada waktu yang sama beliau menanamkan minat kepada filem sebagai hasil daripada masanya yang banyak dihabiskan untuk preview filem bagi majalah yang dipimpinnya. Kemudian Hamzah berkecimpung terus dalam dunia perfileman sehingga akhir hayat beliau.

Karya & Sumbangan

Hamzah menceburi beberapa bidang penulisan dalam sastera seperti bidang penghasilan cerpen, novel, sajak, esei dan sebgainya. Antara 7 buah novel terkenal yang dihasilkan adalah seperti:
(i)Cinta dan Perjuangan atau Tarikh Berlari Liar, 1949
(ii)Dimana terbitnya Si Matahari, 1950
(iii)Rumah itu Dunia Aku, 1951
(iv)Pemburu Kembali ke Rumahnya, tanpa tarikh.
(v)Samseng, 1956
(vi)Hujan Air Mata, 1958
(vii)Rumah Kosong, 1965

Salah satu novel yang popular iaitu Rumah itu Dunia Aku telah diterjemah dan diterbitkan dalam bentuk filem dengan judul yang sama oleh Syarikat Kris, Singapura.

Selain penulisan Novel, Hamzah juga begitu aktif dalam penulisan cerpen sejak dari akhir dekad 40-an. Hamzah yang merupakan seorang yang produktif, profilik dan aktif telah menghasilkan sejumlah cerpen yang agak banyak dari bulan Januari 1947 hingga Disember 1949 iaitu sekitar 30 buah cerpen. Hal ini menunjukkan bahawa beliau telah menghasilkan satu cerpen pada setiap bulan selama tiga tahun berturut-turut.

Dalam hakikat sejarah perkembangan cerpen selepas Perang Pasifik, Hamzah merupakan seorang daripada persona dalam jagat Kesusasteraan Melayu yang tidak kurang hebatnya dalam penulisan cerpen penghasilan novel. Peri pentingnya Hamzah sebagai cerpenis zamannya dapat ditelusuri daripada beberapa aspek yang berkaitan serta memiliki kerelevanannya yang tersendiri .

Cerpen pertama Hamzah Hussain adalah "Pengkhianat Bangsa" yang telah diterbitkan oleh Majalah Hiburan pada 1 Januari 1947. Cerpen "Bilik Nombor 14" yang diterbitkan pada 24 Oktober 1948 bukanlah cerpen pertama Hamzah Hussain yang didakwa oleh Wan Muhammad M.Jusuf dalam Sejarah Sastera Melayu Moden Sesudah 1800 pada tahun 1984. Begitu juga halnya dengan cerpen detektif yang bertajuk "Pembunuhan dalam Studio", diterbitkan oleh Filem Melayu 1948 seperti dakwaan Pauzi Mohammed sebagai cerpen pertama Hamzah Hussain. Kebenaran ini diakui sendiri oleh A. Samad Said.

Dalam dekad 50-an sahaja, Hamzah telah menghasilkan sebanyak 200 buah cerpen. Ini diakui oleh sendiri dalam wawancara bersama beliau sebagai Karyawan Tamu ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia pada September 1994. Antara media cetak yang sering menerbitkan hasil karya cerpen beliau adalah seperti:
(i)Mutiara
(ii)Hiburan
(iii)Mastika
(iv)Utusan Zaman
(v)Fashion
(vi)Kisah
(vii)Berita Mingguan
(viii)Mingguan Malaysia

Penglibatan Hamzah Hussain secara langsung dalam dunia penulisan ini telah menghasilkan banyak cerpen yang bermutu dan berkualiti. Penghasilan ini telah digarap dan disatukan ke dalam beberapa buah kumpulan cerpen atau dipanggil sebagai antologi. Antara kumpulan cerpen beliau yang sentiasa dijadikan rujukan dan panduan adalah seperti:
(i)"Sengketa", Penerbitan Sari Mala,1956
(ii)"Pagar Bukan Penjara", DBP, 1996.
(iii)"Jiwa Seorang Pengarang".

Di bawah ini terdapat beberapa gambar kulit buku yang yang memuatkan hasil-hasil cerpen Hamzah Hussain ini seperti "Jiwa Seorang Pengarang", "Pagar Bukan Penjara" dan "Memoir Hamzah Hussain". Antara cerpen-cerpen popular Hamzah Hussain yang terhasil adalah seperti berikut:


"PAGAR BUKAN PENJARA"

  • Pengkhianat Bangsa
  • Pagar Bukan Penjara
  • Korban
  • Jiwa Seorang Pengarang
  • Tun Perak Pahlawan Melaka
  • Semangat Puteri Islam
  • Roboh Rebah Berhala-berhala
  • Tiang Salib di Dada
  • Maznah


"JIWA SEORANG PENGARANG"

  • Pena Merdeka
  • Pertemuan di Jalan Raya
  • kisah Tiga Orang Gadis
  • Sepatah Perkataan yang Berpengaruh
  • Kalau Kau Kebulur
  • Menanti Ketukan Pintu
  • Laga Ayam
  • Bayangan dalam Gelap
  • Surat ke Kampung
  • Syarifah
  • Kekuasaan dan Kekuatan
  • Korbn Mengatasi Korban
  • Dua Budak Lima Mayat
  • Anak Baru Lahir
  • Dia Ingin Beranak
  • Cinta di Sebuah Kampung
  • Anak Darurat
  • Mr. White Penuh dengan Senyuman
  • Sebuah Rumah di Pinggir Laut
  • Pengakuan di Hari Raya
  • Pembunuhan di Malam Raya
  • Korbanku di Hari Raya Haji
  • Mariam
  • Berhari Raya dengan Motokar Tuan
  • Harapan
  • Tasik Dayang Bunting
  • Hidup Lebih Buruk
  • Seorng Sundal di Saigon
  • Syarifah Zainab
  • Jiwa Seorang Pengarang



"MEMOIR HAMZAH HUSSAIN ( DARI KERIS FILM KE STUDIO MERDEKA)"

  • Tahap Awal Selepas Perang
  • Warna Menjadi Pilihan
  • Sistem Studio
  • Sasterawan Sebagai Pengarah
  • Ragam Tema Filem Melayu
  • Perintis dan Pencabar
  • Era Kerjasama
  • Ho Ah Loke dan Keris Melayu
  • Cabaran Sebenar
  • Badang Dipersoalkan
  • Studio Merdeka
  • Perkembangan Filem Dekad 80-an dan 90-an
  • Kejayaan dan Keyakinan Baru Dekad 90-an

Kumpulan cerpen ini menghasilkan banyak himpunan koleksi cerpen Hamzah Hussain sejak dari tahun 1947 lagi sehinggalah beliau beransur meninggalkan dunia penulisan dan kemudiannya terjun ke alam perfileman pula. Koleksi cerpen yang sentiasa bertebaran mengisi ruang akhbar dan majalah pada ketika itu begitu banyak memberi pengaruh dan sesuai dengan keadaan khalayak pembaca waktu itu yang menginginkan sesuatu perubahan sebelum Tanah Melayu mengecapi Kemerdekaan pada Ogos 1957.

Anugerah & Pengiktirafan

Walaupun Hamzah begitu terkenal dan popular dengan konsep yang dipegang iaitu "Seni Untuk Seni" namun beliau tidak banyak mendapat atau menerima pengiktifaran. Antara anugerah yang diraih beliau adalah diisytiharkan sebagai "Pengarang Pujaan 1952" oleh majalah Mutiara. Hamzah telah dipilih oleh pembaca majalah Mutiara sebagai penulis yang favourite di antara sekian ramai penulis yang terkenal pada awal tahun 1950-an.

Selain itu,apa yang dapat dibanggakan dengan pencapaian Hamzah sebagai seorang karyawan yang sentiasa memberi nafas baru dalam dunia perfileman adalah beliau mendapat golokan gelaran. Gelaran yang begitu besar maknanya kepada masyarakat dan beliau sendiri menjadi sandaran untuk masyarakat terus menyokong dan menerima idea-idea beliau. Digelar sebagai Perpustakaan Filem sedikit sebanyak mengangkat martabat Hamzah sebagai seorang karyawan yang disanjung tinggi.

BIBLIOGRAFI

Hamzah Hussain. 1996. Kumpulan cerpen 1947-1968: Pagar Bukan Penjara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hamzah Hussain. 2005. Jiwa Seorang Pengarang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hamzah Hussain. 1997. Memoir Hamzah Hussain: Dari Keris Film Ke Studio Merdeka. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

S. Othman Kelantan. 1989. Novel-novel Hamzah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka